Kegigihan Wanita Iban Angkat Budaya ke Peringkat Antarabangsa

Kegigihan Wanita Iban Angkat Budaya ke Peringkat Antarabangsa
Aplikasi Pirak 2.0 Ist.

Tanjong Malim, Perak: Kegigihan seorang wanita Iban yang juga tenaga pengajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memperjuangkan budaya bangsanya telah membuahkan hasil apabila sebuah aplikasi inovasi berkaitan papan sugu tinggi berjaya menembusi pentas antarabangsa.

Kegigihan seorang wanita Iban

Aplikasi berjudul Pirak 2.0: Menjulang Sugu Tinggi dan Memelihara Budaya Iban yang diketuai oleh Dr. Patricia Ganing, bukan sahaja meraih Pingat Emas dalam pertandingan The 1st International of Art Design & Creative Technology Symposium and Competition 2025 (i-ADCT 2025) malah menjadi bukti bahawa warisan masyarakat peribumi boleh dipelihara melalui teknologi moden.

Menurut Dr. Patricia, aplikasi tersebut dicipta untuk mempermudahkan masyarakat khususnya generasi muda dan masyarakat selain kaum Iban, mempelajari cara membuat sendiri papan sugu tinggi ataupun hiasan kepala tradisional wanita Iban yang melambangkan status dan identiti budaya.

Aplikasi Pirak 2.0 ini bukan sekadar rekabentuk digital

“Aplikasi Pirak 2.0 ini bukan sekadar rekabentuk digital tetapi juga panduan interaktif yang menghubungkan generasi lama dan baru dalam usaha memelihara warisan. Kami mahu budaya ini terus hidup, bukan sekadar dikenang sebagai sejarah,” ujar Dr. Patricia.

Pembangunan aplikasi ini turut mendapat sumbangan dana daripada Kementerian Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak, sekali gus memperlihatkan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha pemuliharaan budaya melalui inovasi.

Pasukan penyelidik dan pembangun aplikasi yang terlibat dalam projek ini termasuk Pn. Nor Sahara Mesman, Pn. Diana Jumadi, Pn. Nur Hidayah Rashidi, En. Muhammad Fawiz Bakri, dan En. Muhammad Zamzini Mohd Zamani.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris malah memberi inspirasi kepada masyarakat Iban dan rakyat Malaysia secara keseluruhan bahawa warisan budaya boleh terus dipelihara dan diperkasakan dengan pendekatan kreatif serta teknologi moden.

0 Comments

Type above and press Enter to search.