Festival Sarawakiana 2025 sebagai Warisan Etnik, Seni Tradisi, dan Identiti Masyarakat Sarawak
| Festival Sarawakiana 2025. Istimewa. |
Festival Sarawakiana 2025, yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober 2025 bertempat di Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Sarawak, Malaysia, merupakan sebuah festival kebudayaan yang menampilkan kekayaan warisan etnik, seni tradisi dan identiti masyarakat Sarawak.
Penganjuran festival ini bertujuan memperkenalkan khazanah budaya Borneo kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti, termasuk pameran, bengkel dan sesi perkongsian bersama penggiat seni warisan.
Encik Paul Jalong merupakan salah seorang fasilitator yang hadir pada Festival Sarawakiana 2025 yang lalu, membawa bersama bukan sekadar hasil seni, tetapi kisah sebuah warisan yang berakar dalam sejarah dan identiti masyarakat Dayak.
Di tangan beliau, kelembit bukan sekadar objek tradisi, sebaliknya menjadi saksi bisu perjalanan tamadun, kepercayaan dan perubahan zaman.
Festival Sarawakiana, warisan yang berakar dalam sejarah dan identiti masyarakat Dayak
Bagi Encik Paul, kelembit merupakan tradisi turun-temurun yang melambangkan pertahanan dan perlindungan, serta kehalusan seni dalam kraftangan warisan.
Pada masa lalu, ia berfungsi sebagai perisai dalam kehidupan yang menuntut ketahanan fizikal dan keberanian. Namun hari ini, kelembit dimaknai semula sebagai simbol perlindungan dan perhiasan budaya yang menjadi lambang identiti yang terus hidup dalam masyarakat moden.
Proses pembuatannya mencerminkan ketelitian dan kesabaran yang tinggi. Dahulunya, kayu kita menjadi pilihan utama kerana ketahanan dan kualitinya, namun bahan ini kini semakin sukar diperoleh.
Sebagai alternatif, plywood digunakan tanpa menjejaskan fungsi dan nilai estetik ukiran. Kayu dipotong mengikut ukuran, dicantum menggunakan gam dan skru, dipasang pemegang di bahagian belakang, sebelum melalui proses penghalusan bagi memastikan permukaannya licin dan kemas. Ia kemudian dicat dengan warna asas putih, dihiasi motif ukiran, diperincikan dengan sentuhan akhir, dan dilapisi varnis sebagai pelindung terakhir.
Setiap corak pada kelembit dahulunya sarat dengan makna. Motif naga, rupa manusia dan simbol tertentu pernah dikaitkan dengan kepercayaan yang dianggap membawa berkat. Namun seiring peredaran masa, Encik Paul memilih untuk mengubah tafsiran tersebut dengan mengalihkan fokus kepada makna yang lebih positif, atau menjadikan ukiran itu sebagai karya seni murni tanpa maksud tersembunyi.
Jika pada zaman dahulu pembuatan kelembit dalam kalangan penduduk dayak di Sarawak mungkin disertai pantang larang dan amalan tertentu, hari ini ia lebih dilihat sebagai simbol kebudayaan.
Dalam sejarahnya, kelembit bukan terhad kepada pahlawan semata-mata, malah menjadi kewajipan kaum lelaki untuk mempertahankan diri ketika era peperangan.
Motif ukiran juga pernah mencerminkan struktur sosial, di mana simbol seperti harimau, kepala manusia dan burung kenyalang melambangkan golongan bangsawan atau pahlawan yang disegani, manakala corak yang lebih sederhana mewakili rakyat jelata.
Seni kelembit hari ini menurut Encik Paul Jalong
Namun bagi Encik Paul Jalong, seni kelembit hari ini harus mencerminkan realiti semasa. Beliau terlibat secara aktif dalam usaha menyingkirkan unsur keganasan daripada ukiran seperti kepala manusia dan naga bertaring demi menonjolkan nilai kedamaian dan keharmonian.
Masyarakat kini tidak lagi hidup dalam era mengayau, sebaliknya menikmati kemakmuran dan perpaduan yang wajar diraikan sebagai warisan terindah.
Di sebalik setiap kelembit yang dihasilkan, tersimpan satu harapan agar generasi muda terus memelihara seni ukiran sebagai warisan berharga, meraikan keunikan setiap suku bangsa, serta menjadikan kepelbagaian budaya sebagai warna yang memperkaya jati diri bersama.
Ditulis oleh: Davidsal Jimmy Berayen.
0 Comments